Sabtu, 13 Februari 2010

ANGGOTA PARLIMEN BAYAN BARU UMUM KELUAR PARTI

PETALING JAYA, 12 Feb (Bernama) -- Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim pada Jumaat mengumumkan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkuatkuasa serta merta.

Zahrain berkata keputusan itu adalah kerana beliau kecewa dengan kepimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, serta kesal dengan perjuangan PKR dalam Pakatan Rakyat.

Dengan langkah itu, bekas pengerusi PKR Pulau Pinang itu mengumumkan bahawa beliau adalah wakil bebas yang tidak menyokong mana-mana parti politik.

"Niat untuk masuk parti-parti lain tidak ada, saya akan keluar dan menjadi sebagai seorang Independent (Bebas). Saya adalah orang yang bebas," katanya semasa kelihatan tenang pada sidang media di sebuah hotel di sini.

Ketegangan dalam kepimpinan pakatan PKR-PAS-DAP tercetus apabila baru-baru ini Zahrain menuduh Lim, yang juga setiausaha agung DAP, sebagai seorang diktator dan cauvinis serta berfikiran ala komunis.

"Tindakan kerajaan pimpinan Lim membelakangkan prinsip keadilan, hak asasi kemanusiaan dan keadilan semula jadi.

"Amalan Lim dan konco-konconya bukan sahaja bersikap angkuh dan tidak boleh menerima teguran dan kritikan malahan mereka menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka untuk kepentingan politik sempit dan jahat mereka," katanya.

Zahrain berkata tindakan keluar parti dilakukan kerana beliau tidak mahu dihukum sejarah dan generasi akan datang kerana tidak berbuat apa-apa dalam mencegah kemungkaran serta menjadi sebahagian daripada kumpulan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

"Saya telah melakukan apa yang terdaya dalam kemampuan saya untuk mencegah kemungkaran besar yang berlaku di peringkat kepimpinan PKR, namun semua bantahan dan teguran saya diremehkan.

"Sebaliknya, mereka bertindak menyingkir dan meminggirkan saya dengan tujuan untuk menghapuskan suara teguran dan kritikan dalam PKR tanpa menghormati hak asasi kemanusiaan, hak membela diri dan prinsip keadilan yang mereka laungkan selama ini," katanya.

Zahrain sebelum ini dilaporkan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin parti kerana tindakannya mengkritik kepimpinan Lim.

Selain Zahrain, beberapa pemimpin PKR lain seperti Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin, Datuk Zaid Ibrahim dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Tan Tee Beng, juga dilaporkan sebelum ini akan dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Ditanya sama ada beliau mempunyai masalah dengan Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Zahrain berkata beliau masih menganggap Anwar sebagai kawan cuma beliau kecewa kerana kepercayaan dan keyakinannya dalam memjuangkan parti terhakis akibat keraguan terhadap matlamat dan cara perjuangan yang bawa oleh PKR khasnya dan Pakatan Rakyat umumnya.

"Saya kecewa sebagai kawan hak saya untuk menasihati beliau (Anwar), tetapi kalau parti buat pendirian yang luar daripada apa yang saya kata sebagai ikhlas, maknanya saya kecewa kerana saya juga manusia biasa yang ada perasaan," katanya.

Zahrain memberikan jaminan kepada para pengundinya di Bayan Baru bahawa beliau tidak akan belot terhadap pengundi yang telah memilihnya serta menasihati rakyat supaya tidak meletakkan harapan yang tinggi terhadap pakatan PKR-Pas-DAP.

"Saya percaya Pakatan Rakyat tidak tahan lama. Saya tidak mahu rakyat tertipu dengan retorik Pakatan Rakyat," katanya

PEMUDATAMANPERUDA - Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnianya terbuka jugak hati Datuk Zahrain untuk keluar daripada parti PKR...saya mendoakan semoga ramai lagi penyokong-penyokong pakatan rakyat yang akan mengikut jejak Datuk Zahrain...

0 ulasan:

Catat Ulasan

KOMUNITI CERIA AIDC

PEMUDA TAMAN PERUDA © 2008. Design by :Yanku Templates Sponsored by: Tutorial87 Commentcute